Thursday, May 14, 2009


Siri Young Aisyah yang ke empat dan Young Aisyah menjadi pilihan Puteri


Siri Ke 4 akan terbit!


Sudah lama Kak Idah tidak mencoretkan di sini. Bukan apa, ada beberapa perkara yang timbul dan Kak Idah tak ada kesempatan hendak bercerita. Minta maaflah kepada yang menunggu cerita baru.


Pesta buku sudah pun berlalu. Semasa sesi kuiz dan tandatangan novel Young Aisyah, alhamdulillah, ramai yang mengambil kesempatan mengikuti kuiz siri Young Aisyah. Dan ramai pula yang hendak menjawabnya. Apa pun Kak Idah dan Abang Reja mengucapkan terima kasih kerana sambutan yang diberi kepada siri Young Aisyah, amat menggalakkan. Kepada yang sudah membeli, bacalah dan sekiranya ada sebarang komen atau cadangan, silalah hantar email kepada Kak Idah.


Tidak lama lagi, akan keluar siri Young Aisyah yang keempat. Tunggulah keluarannya. Kali ini berkisar tentang jasa seorang guru yang perlu kita kenang sehingga akhir hayat. Aisyah Sofia dan gengnya, As-Syik sedang merancang sesuatu untuk guru mereka, apakah itu? Sila tunggu kemunculannya!


Young Aisyah Pilihan Puteri


Baru-baru ini, Kak Idah mendapat pesanan ringkas dari Pegawai Perhubungan PTS, Tuan Roslan Isa yang menyatakan bahawa siri Young Aisyah ada dipamerkan dalam majalah Disney's Princess.


Kak Idah pun garu kepala sekejap. Sebabnya tidak pernah dengar nama majalah itu. Maklumlah, sekarang ini terlalu banyak majalah di kedai-kedai buku, pelbagai rupa. Dan akhirnya, Kak Idah pun pergilah ke kedai buku berhampiran dengan rumah. Kak Idah pun carilah dicelah-celah majalah lain, akhirnya jumpa Majalah Disney's Princess siri ke 22. Wah! cantik juga majalah itu. Maklumlah penuh dengan warna-warni dan banyak cerita dongeng dulu-dulu.


Tak sangka pula, siri Young Aisyah menjadi pilihan Puteri....alhamdulillah!