Monday, March 23, 2009


Siapa dia Aisyah Sofia?


Kali ini, Kak Idah hendak perkenalkan watak Aisyah Sofia. Siapakah dia? Aisyah Sofia adalah watak utama dalam siri Young Aisyah. Kenapa dia dijadikan sebagai utama? Mengapa ye?


Kerana, Aisyah Sofia seorang budak yang comel, ceria, bijak, cergas dan juga taat pada agama dan juga kedua umi dan ayahnya. Pandai dalam pelajarannya serta rajin ke sekolah. Dia juga mudah mesra dan tidak sombong. Mudah berkawan dengan siapa sahaja. Suka bercerita...adik-adik pun sama kan.
Dia tidak suka bergaduh atau cari musuh. Tidak suka mengata atau mengumpat. Adik-adik macam mana?


Itulah sebab Aisyah Sofia dipilih menjadi watak utama. Tetapi dalam pada itu, setiap manusia yang dijadikan oleh Allah itu mesti adalah kelemahannya. Begitu juga dengan Aisyah Sofia. Kelemahan Aisyah Sofia ini biasa saja, iaitu dia tidak rajin mengulang kaji pelajaran. Kurang rajin menolong uminya buat kerja rumah. Kerana kegemarannya hanya bermain, bermain dan bermain. Maklumlah budak-budak lagi. Tapi sekali sekali tu, dia rajin juga tolong uminya. Adik-adik bagaimana? Rajin atau tidak menolong ibu di rumah?


Jadi hendak tahu lebih lanjut tentang Aisyah Sofia, jangan lupa beli novelnya yang bersiri yang kini berada di pasaran. Antaranya, Pindah Rumah dan Buli. Sementara, Juara Kampung Badak Berendam akan berada pada hujung Mac ini.

Sunday, March 22, 2009



Kak Idah promo siri Aisyah Sofia di MPH, Alpha Angle, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.




Semalam (22 Mac 2209) Kak Idah berada di MPH Alpha Angle, Wangsa Maju untuk mempromosikan siri Young Aisyah, iaitu Pindah Rumah dan Buli. Itulah kali pertama Kak Idah menjejakkan kaki ke situ. Emm...masuk saja melalui pintu utama sudah berjumpa tempat promosi.


Ramai yang hadir, selain dari editor PTS Islamika, Abang Imran, Kakak Asyura dan Kakak Firdaus, hadir juga, Pegawai Perhubungan PTS, Abang Roslan dan juga editor Litera, Abang Baharudin. Begitu juga kelibat Abang Mat Jan. Sekali lalu hadir juga, Abang Firdaus penulis novel fantasi. Meriah juga.


Selain Kak Ida, turut hadir penulis dari PTS One, Puan Kursyi Hirdan, penulis novel siri kembara Hafiz dan terkini, siri Pengetua.....dll.


Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakam oleh kamera Kak Idah yang kurang canggih...Tengah dok intai-intai hendak beli kamera canggih sikit biar gambar jelas dan tepat.
Kak Idah bergambar dengan peminat siri baru Young Aisyah. Dalam masa sejam sebanyak lebih kurang 7 buah terjual....alhamdulillah. Adik-adik yang beli jangan lupa baca dan sebarang komentar ajukan pada Kak Idah di email: saridah_64@yahoo.com
















Friday, March 20, 2009


Pengenalan Siri Young Aisyah: Pindah Rumah


Manuskrip Pindah Rumah sebenarnya telah siap bulan September 2008 yang lalu. Ingat lagi, ketika itu umat Islam sedang berpuasa, dan Kak Idah berjaya menyiapkan dua minggu sebelum menyambut raya. Rasa lega yang tak terhingga. Dalam kepenatan berpuasa dan menguruskan keluarga, alhamdulillah dapat menyiapkan dengan cepat.


Novel ini berkonsep novel campur komik. Bagi setiap bab, ada dipaparkan komik berkisar cerita Aisyah Sofia juga . Sudah tentu adik-adik gemar dengan konsep ini. Harap-harap dapat diterima dengan baik.


Pada mulanya, pelukis komik ini adalah Abang Jonos, tetapi atas sebab tertentu, dia tidak dapat meneruskan kerja-kerja melukis. Jadi projek pertama yang sepatutnya siap pada Disember 2008 tergendala. Jadi Siri Aisyah Sofia belum boleh menemui adik-adik semua pada tahun lalu. Mungkin ada hikmahnya, kenalah Kak Idah bersabar.


Dan akhirnya atas usaha penat jerih editor kecil molek, Ustazah Assyura, maka dia pun bertemu dengan pengganti Abang Jonos yang boleh melukis komik untuk novel itu. Uhh! Kak Ida pun bersyukur! Apatah lagi, lukisannya sungguh cantik. Tahniah untuk Abang Reja. Kak Ida belum pernah bertemu dengannya tapi Kak Idah yakin dia boleh yang terbaik. Dan hasilnya, adik-adik lihat lukisannya, cantik kan!!
Teringin juga hendak suruh Abang Reja lukis potret untuk Kak Idah. Alahai bilalah agaknya? Mungkin Kak Idah berkesempatan bertemu dengannya semasa pesta buku antarabangsa nanti yang akan diadakan pada 17 April ini.
Adik-adik hendak tahu, kalau tak nak tahu pun, Kak Idah hendak beritahu juga! Novel Kanak-kanak Siri Young Aisyah ini adalah dibawah penerbitan PTS Islamika. Kiranya, ini adalah produk sulung PTS Islamika dalam bentuk atau genre novel. Sudah tentu watak-wataknya adalah kanak-kanak! Nanti Kak Idah cerita satu persatu setiap watak yang hadir dalam novel itu. Tunggu!!!


Thursday, March 19, 2009


Temui Penulis Siri Aisyah Sofia di Alpha Angle, Wangsa Maju pada 22 Mac, pukul 2 petang.


Kak Ida mewakili AisyahSofia akan berada di MPH, Wangsa Maju bersama dengan penulis lain. Bagi yang terbaca blog ini, rajin-rajinkan menjengok. Boleh kita berkenalan.....
Tarikhnya pada Ahad ini bersamaan 22 Mac 2009 bermula dari 2 petang. Jumpa di sana!!

Wednesday, March 18, 2009




Selamat datang ke teratak Aisyah Sofia




Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh,




Apa khabar? Terima kasih kerana sudi meluangkan masa menjenguk teratak yang serba kekurangan ini. Rasa macam hendak bergoyang tiang teratak ini yang masih tidak kukuh lagi..he...he...he.




Salam perkenalan dari Kak Ida untuk semua. Kini Aisyah Sofia sudah mempunyai terataknya sendiri..harap semua sudi bertandang ke sini. Kak Ida sebagai kakak kepada Aisyah Sofia ingin berkongsi cerita, pengalaman, dan apa sahaja dengan adik-adik semua. Aisyah Sofia tidak rajin hendak menulis maklumlah dia sibuk dengan kerja-kerjanya. Jadi dia mewakilkan Kak Ida untuk mencoret yang tersirat, terselindung, terbuka dan apa sahaja demi kebaikan semua...tunggu!!

Kak Ida akan bercerita tentang apa sahaja yang kena mengena dengan diri Aisyah Sofia dan aktivitinya yang selalu kepoh itu.Harap-harap kamu semua tidak bosan... nantikan cerita terkini!! Jumpa lagi!