Tuesday, November 3, 2009


i. Kak Idah kembali menulis



Assalamualaikum, adik-adik, apa khabar? Kak Idah berharap semuanya berada dalam keadaan sihat. Terlebih dahulu, Kak Idah minta maaflah kerana sudah lama tidak memaparkan cerita baru di blog ini. Ini kerana, Kak Idah dan keluarga baru pindah rumah. Dan khidmat internet belum disambung dan hendak pergi ke cyber cafe, tiada masa. Jadi, alhamdulillah, sekarang Kak Idah berpeluang untuk menulis semula di blog ini.


Kak Idah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada adik-adik dan pengunjung yang sudi singgah di teratak Aisyah Sofia ini. Banyak perkara yang hendak ditulis, dan rasanya banyak sudah perkara sudah berlalu yang hendak dikongsi bersama.


ii. Novel Ke 5...Ponteng Puasa



Bagi adik-adik yang mengikuti siri Young Aisyah, adakah sudah memiliki siri Ponteng Puasa sempena bulan Ramadan yang lepas. Apakah pandangan adik-adik semua. Kak Idah harap adik terhibur dengan cerita yang disampaikan itu. Mungkin novel itu berada di pasaran agak lambat tetapi adik-adik masih boleh memilikinya untuk dibuat koleksi.

Wednesday, June 10, 2009

Siri Young Aisyah Sofia yang ke Empat Berada di Pasaran.



Assalamualaikum adik-adik! Apa khabar? Semoga semuanya sihat belaka, lebih-lebih lagi kini sedang cuti sekolah. Kak Idah yakin, adik semua mesti bijak mengisi masa lapang pada cuti sekolah ini.



Jangan pula, buku pun cuti juga! Luangkanlah masa untuk membaca walaupun sedikit. Dan kini, Siri Young Aisyah Sofia kini sudah berada di pasaran. Agak terlewat sedikit tetapi, kiranya bagi adik yang tidak sabar menanti kemunculan siri ke 4 ini, cepat-cepatlah ke kedai buku.



Di atas adalah gambar kulit 'Sayang Cikgu'. Cantik atau tidak? Apa komen adik? Selamat membeli dan membaca!

Thursday, May 14, 2009


Siri Young Aisyah yang ke empat dan Young Aisyah menjadi pilihan Puteri


Siri Ke 4 akan terbit!


Sudah lama Kak Idah tidak mencoretkan di sini. Bukan apa, ada beberapa perkara yang timbul dan Kak Idah tak ada kesempatan hendak bercerita. Minta maaflah kepada yang menunggu cerita baru.


Pesta buku sudah pun berlalu. Semasa sesi kuiz dan tandatangan novel Young Aisyah, alhamdulillah, ramai yang mengambil kesempatan mengikuti kuiz siri Young Aisyah. Dan ramai pula yang hendak menjawabnya. Apa pun Kak Idah dan Abang Reja mengucapkan terima kasih kerana sambutan yang diberi kepada siri Young Aisyah, amat menggalakkan. Kepada yang sudah membeli, bacalah dan sekiranya ada sebarang komen atau cadangan, silalah hantar email kepada Kak Idah.


Tidak lama lagi, akan keluar siri Young Aisyah yang keempat. Tunggulah keluarannya. Kali ini berkisar tentang jasa seorang guru yang perlu kita kenang sehingga akhir hayat. Aisyah Sofia dan gengnya, As-Syik sedang merancang sesuatu untuk guru mereka, apakah itu? Sila tunggu kemunculannya!


Young Aisyah Pilihan Puteri


Baru-baru ini, Kak Idah mendapat pesanan ringkas dari Pegawai Perhubungan PTS, Tuan Roslan Isa yang menyatakan bahawa siri Young Aisyah ada dipamerkan dalam majalah Disney's Princess.


Kak Idah pun garu kepala sekejap. Sebabnya tidak pernah dengar nama majalah itu. Maklumlah, sekarang ini terlalu banyak majalah di kedai-kedai buku, pelbagai rupa. Dan akhirnya, Kak Idah pun pergilah ke kedai buku berhampiran dengan rumah. Kak Idah pun carilah dicelah-celah majalah lain, akhirnya jumpa Majalah Disney's Princess siri ke 22. Wah! cantik juga majalah itu. Maklumlah penuh dengan warna-warni dan banyak cerita dongeng dulu-dulu.


Tak sangka pula, siri Young Aisyah menjadi pilihan Puteri....alhamdulillah!

Tuesday, April 28, 2009

Young Aisyah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009

Minggu lalu, Kak Idah berada di PWTC untuk mempromosikan siri novel Young Aisyah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung selama seminggu.

Kak Idah berada di gerai PTS pada 18 dan 19 April lalu pada sebelah petang. Selain dari mempromosi Young Aisyah, Kak Idah juga mempromosikan buku yang lain seperti siri 31 Kisah bersama dengan penulis lain.

Siri Young Aisyah, Kak Idah duduk semeja dengan pelukis Reja yang melukis komik Young Aisyah. Alhamdulillah sambutan terhadap novel kanak-kanak terbitan sulung PTS Islamika mendapat sambutan yang menggalakkan. Siri Pindah Rumah, Buli dan Juara Kampung Badak Berendam mendapat tempat di hati adik-adik yang berkunjung ke gerai PTS. Terima kasih kepada semua yang membelinya. Dan Kak Idah mengucapkan selamat membaca!

Di bawah ini adalah antara gambar-gambar yang sempat diambil oleh editor Asyuura...terima kasih. Kalau tidak tak adalah gambar-gambar itu. Minta maaflah gambar yang diambil tidak berapa cantik, maklumlah kamera Kak Idah tidak berapa canggih.

Wednesday, April 15, 2009


Temui Kak Idah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009


1) Program: Sesi Autograf Bersama Penulis 31 Kisah dan Kuiz


Penulis:Saridah Hamid & Mohd Alif Md Nor


Tarikh:18 April 2008 (Sabtu)


Masa: 5:00 hingga 6:00 petang


Tempat: Booth PTS (72-79), PWTC bersebelahan dewan Tun Hussien Onn


Anjuran: PTS Islamika Sdn. Bhd.


Diskripsi: Sesi autograf bersama penulis buku 31 kisah. Kuiz juga turut diadakan.Soalan mudah dan senang dijawab. Pemenang akan menerima hadiah buku 31 kisah. Maklumat lanjut, sila hubungi Siti Asyuura Jalaluddin , 016-6612014. Penyertaan adalah percuma. Semua dijemput hadir.

2) Program: Bicara Buku Young Aisyah, Sesi Autograf dan sesi Melukis Bersama Penulis


Penulis:Saridah Hamid & Rezarly Musa


Tarikh:19 April 2008 (Ahad)


Masa: 4:00 hingga 5:00 petang


Tempat: Booth PTS (Booth PTS (72-79), PWTC bersebelahan dewan Tun Hussien Onn


Anjuran: PTS Islamika Sdn. Bhd.


Diskripsi: Penulis akan bercerita tentang buku bersiri Young Aisyah. Selain sesi autograf dan sesi melukis bersama ilustrator komik Young Aisyah. Kuiz juga turut diadakan. Soalan mudah dan senang dijawab.Pemenang akan menerima hadiah buku siri Young Aisyah. Maklumat lanjut, sila hubungi Siti Asyuura Jalaluddin , 016-6612014. Penyertaan adalah percuma. Semua dijemput hadir.


-- Siti Asyuura bt Jalaluddin Editor PTS Islamika

Thursday, April 2, 2009


Kawan rapat Aisyah, Nazirah


Apa khabar adik-adik? Kak Idah hendak perkenalkan pula watak Nazirah. Nazirah adalah kawan baik Aisyah Sofia semasa tinggal di Kuala Lumpur. Mereka telah ditakdirkan untuk bersama dalam satu kelas, satu sekolah dan juga tinggal berdekatan. Kemana sahaja mereka pergi, pasti berdua, ibarat macam belangkas.


Adik-adik sudah tentu mempunyai kawan rapat. Kawan yang boleh kita berbual dengan baik. Kawan yang sudi mendengar masalah kita. Kawan yang suka menasihatkan kita. Adakah kawan adik seperti itu?


Nazirah seorang yang ceria, macam Aisyah juga. Baik hati, suka menolong orang lain dan tidak sombong. Nazirah rapat dengan Aisyah sejak dari darjah satu lagi. Jadi, dia sudah kenal Aisyah dengan lebih dekat.


Apabila Aisyah Sofia memberitahunya yang keluarganya akan berpindah, Nazirah merasa sedih sekali. Sudah tentulah sedih kerana kawan baiknya yang berpisah dengannya. Kalau adik-adik bagaimana?


Namun begitu, meskipun mereka berpisah..Nazirah tetap menjalin hubungan dengan Aisyah. Dia tidak mahu putus sahabat. Dengan itu, dia pun rajin menghantar surat kepada Aisyah. Begitu juga Aisyah akan rajin membalas surat Nazirah. Sekurang-kurangnya mereka boleh menghantar berita terkini. Jadi, kalau adik-adik ada kawan dan kemudian berpisah, janganlah putus sahabat. Tirulah macam Nazirah, rajin hantar surat.. hehehe...


Baiklah...sampai di sini...nanti Kak Idah tulis yang lain pula. Jangan lupa, dapatkan siri Aisyah Sofia di kedai-kedai buku yang berhampiran dengan rumah adik.